














Hari yang paling bahagia buat 2 pasangan yang akan menjalani kehidupan bersama adalah hari di mana mereka diakad nikah oleh wali atau jurunikah. Kebahagiaan bermula dari saat si lelaki menerima nikah atau menerima si perempuan sebagai isteri. Reaksi atau raut wajah semua insan yang terlibat dengan si lelaki dan si perempuan semasa berada di lokasi majlis dan mendengar ucapan terima nikah itu akan berubah tersenyum, terharu dan ada yang menangis. Majlis akad nikah adalah satu majlis yang penuh dengan emosi. Bermula dari melangkah masuk ke majlis nikah sehinggalah tamat majlis. Kerana itulah saya amat suka berada di majlis akad nikah apatah lagi menjadi jurugambar bagi pihak majlis berkenaan. Saya suka merakam ke semua emosi yang berada di majlis berkenaan.
Kepada yang baru hendak melangsungkan perkahwinan, janganlah meringankan atau memandang remeh kepada majlis ini berbanding majlis persandingan. Majlis resepsi atau persandingan hanya satu keraian atau hebahan perkahwinan. Di majlis resepsi juga ada emosi tetapi tidak seindah majlis nikah. Tidak meringankan majlis akad nikah bukanlah bermakna majlis ini perlu dilakukan secara besar besaran. Saya tidak bermaksud begitu. Saya cuma ingin menasihatkan kepada pasangan baru supaya berada dalam keadaan bersedia, susun aturan perjalanan majlis anda, pastikan urusan diantara pejabat agama, jurunikah, imam, dan saksi disempurnakan sebaiknya. Apabila ada urusan yang tidak sempurna, masa yang tidak dipatuhi atau lambat, kelancaran majlis terganggu dan emosi juga akan terganggu. Gangguan ini pasti akan anda ingat sehingga akhir hayat. Pastikanlah semuanya selesai dengan sempurna dan gembira. Ini adalah majlis kegembiraan. Jangan mengubahnya kepada marah atau rasa tidak puas hati.
Selamat membuat persiapan perkahwinan ya.
* Gambar2 di atas adalah koleksi gambar Majlis Akad Nikah Iznina dan Hadi yang berlangsung di Cheras.
** Ramadhan akan meninggalkan kita beberapa hari saja lagi. Rebutlah selagi masih ada. InsyaAllah doakan kita akan berada di Ramadhan yang akan datang dalam keadaan sempurna.
——————–
Syafirol Hafiz Arsad
0192834356







































